PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Nora Ariffin mendedahkan dalam proses memujuk suami, Dr. Rushdi Ramli agar menceraikannya buat kali kedua demi memenuhi permintaan anak tiri yang dikatakan sudah lama mengharapkan mereka berpisah.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, berkata, keputusan diambil diharap dapat menghentikan kata-kata nista dan fitnah dilemparkan terhadapnya dalam media sosial.
“Saya mohon maaf menerima lamaran dan berkahwin secara sah dengan Ustaz Rushdi. Setelah ustaz didesak untuk ceraikan saya, ustaz kembali rujuk kepada saya.
“Saya minta maaf kerana terima dan rujuk kembali. Saya akan penuhi permintaan Alia dari dulu lagi untuk kami bercerai. Insya-Allah, Ustazah Rose akan kembali monogami seperti yang diinginkan.
“Saya sedang memujuk ustaz ceraikan saya buat kali kedua supaya tiada kata-kata fitnah, caci maki, hasut menghasut masyarakat membenci, memburukkan nama saya dalam media sosial,” katanya dalam Insta Story.
Menerusi hantaran sama, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu turut memadam foto bersama suami dalam Instagram bagi memuaskan hati pihak berkaitan.
“Saya minta maaf memuat naik gambar bersama ustaz. Saya sudah memadam semua gambar kami, yang ada cuma gambar ramai-ramai.
“Saya minta maaf dan mengaku semuanya salah saya. Ustazah Rose insan yang mulia, tidak pernah salah,” tulisnya.
Menerusi hantaran berbeza, Nora juga memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa memfitnahnya dalam media sosial.
“Sejak 2019 saya tidak pernah bersuara atau respons terhadap semua kata-kata yang ditujukan pada saya di media sosial.
“But now, damage has been done. Biar undang-undang yang menentukan,” ujarnya.
Konflik membabitkan penghibur asal Kelantan itu dengan anak tirinya dikenali sebagai Alia Rushdi tercetus selepas dia mendedahkan digelar wanita sundal selain mendakwa dilemparkan kata-kata tidak baik anak tirinya itu.
Namun, Alia menafikan dakwaan tersebut selain mahu mendedahkan segala bukti perbualan menunjukkan Nora juga pernah memaki hamun keluarganya.
12 Ogos tahun lalu, Nora membuat kejutan apabila memuat naik video Rushdi menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam Instagram.
Bagaimanapun, penyanyi terbabit memaklumkan perceraian berlaku sebelum tarikh video berkenaan dimuat naik.
Begitupun, tidak lama selepas itu Nora mengesahkan sudah rujuk semula dengan Rushdi pada 14 September 2024.
Pasangan terbabit sah sebagai suami isteri pada 2021 dan Rushdi merupakan sahabat baik suami Nora sebelum ini, Allahyarham Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. – KOSMO! ONLINE