PETALING JAYA – Tidak cukup dengan panggilan isteri, deejay kelab malam yang dikenali sebagai DJ Kidd terus mencuri perhatian ramai apabila memuat naik beberapa perkongsian foto mesranya bersama aktres Emma Maembong sekali gus menguatkan lagi khabar angin mereka sudah bernikah.
DJ Kidd berkata, dia berjanji untuk menjadi pasangan hidup terbaik buat pelakon berkenaan.
“Saya akan jadi suami terbaik untuk awak.
“Saya cintakan awak,” katanya dalam Instagram Story semalam.
Dia juga menyifatkan Emma atau nama penuhnya Fatimah Rohani Ismail, 32, sebagai bidadari yabg hadir dalam hidupnya ketika ini.
“Tak perlu tunggu syurga untuk jumpa bidadari,” katanya lagi.
Dalam salah satu video dimuat naiknya, Emma dilihat memeluk dan mencium pipi DJ Kidd.
Emma bagaimanapun tidak memuat naik sebagai perkongsian mengenai jejaka tersebut dalam Instagramnya sehingga kini.
Semalam, DJ Kidd mengejutkan ramai apabila memuat naik video menunggang motosikal bersama Emma yang digelarnya sebagai isteri.
Pada Januari lalu, spekulasi keintiman antara Emma dengan DJ Kidd diperkatakan semula selepas lelaki terbabit secara terbuka mendedahkan perasaannya bahawa aktres itu kini berada di dalam hatinya.
Sebelum itu, timbul desas-desus mengatakan Emma sudah berkahwin dengan lelaki berkenaan selepas bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar.
Malah, pasangan itu didakwa bercuti bersama di luar negara berdasarkan beberapa gambar yang tular dalam media sosial.
Emma dan Shazli sebelum ini merahsiakan tarikh sebenar perceraian mereka, namun mengumumkan perpisahan pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki. – KOSMO! ONLINE