ALOR SETAR – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan rasuah berkaitan satu kes tipu, empat tahun lalu.
Tertuduh, Khairul Azhar Azmi, 36, membuat pengakuan itu sebaik empat pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Dalam pertuduhan pertama, dia yang sebelum ini merupakan Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Korporat/Kewangan (1), Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 45 tahun.
Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan tangkapan terhadap lelaki terbabit dan seorang wanita berusia 42 tahun yang disyaki melakukan kesalahan tipu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Balai Polis Hi-Tech, Kulim dekat sini pada pukul 11.30 pagi, 15 Jun 2021.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi dan tarikh sama didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM15,000 daripada lelaki sama sebagai upah menutup kertas siasatan berhubung kes tipu di bawah Seksyen 420 KK yang disyaki dilakukan individu berkenaan.
Seterusnya bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memperoleh wang tunai RM1,000 dari lelaki berkenaan sebagai upah menutup kertas siasatan kes tipu di bawah Seksyen 420 KK yang disyaki dilakukan individu tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas lelaki aras bawah Balai Polis Hi-Tech, Kulim kira-kira pukul 1 tengah hari, 22 Jun 2021.
Dalam pertuduhan keempat pula, Khairul Azhar didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM10,000 daripada lelaki sama, sebagai upah menutup satu kertas siasatan berkaitan kesalahan tipu disyaki dilakukan individu berkenaan. – KOSMO! ONLINE