BEIRUT – Berpuluh-puluh ribu orang berkumpul untuk majlis pengebumian bekas pemimpin kumpulan Hezbollah, Hassan Nasrallah semalam, lapor Perbadanan Penyiaran Britain(BBC).
Nasrallah terbunuh dalam serangan udara Israel di Beirut pada September tahun lalu ketika berusia 64 tahun.
Orang ramai berpakaian hitam membanjiri sebuah stadium di pinggir Beirut yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 orang.
Mereka turut memberi penghormatan kepada pengganti Nasrallah iaitu Hashem Safieddine yang maut dalam serangan udara berasingan Israel sebelum sempat memegang jawatannya.
Nasrallah merupakan antara tokoh paling berpengaruh di rantau Asia Barat.
Beberapa jam sebelum pengebumian bermula pada pukul 1 tengah hari(waktu tempatan), Israel melancarkan beberapa serangan udara di selatan Lebanon, menyasarkan pelancar roket Hezbollah.
“Hezbollah masih kekal ‘kuat’ dan ‘tidak akan menyerah kalah’,” kata pemimpin semasa kumpulan tersebut, Naim Qassem dalam satu ucapan video dari lokasi rahsia.
Di bawah kepimpinan Nasrallah selama 30 tahun, Hezbollah membantu melatih pejuang daripada kumpulan Hamas selain militia di Iraq dan Yemen. – AGENSI