fbpx

Proton Wira, lima motosikal hangus terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Meng melihat motosikalnya yang hangus terbakar di ruang letak kereta bawah Blok H PPR 1 Paya Nahu di Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Sebuah kereta jenis Proton Wira dan lima motosikal hangus dalam kebakaran di ruang bawah Blok H Projek Perumahan Rakyat (PPR) 1, Paya Nahu, di sini awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba 1 Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada penduduk pada pukul 3.51 pagi tadi.

“Seramai sembilan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, kita mendapati penduduk sedang menyimbah air pada kenderaan yang terbakar.

“Pasukan mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengawal api sebelum berjaya memadam keseluruhan kebakaran yang membabitkan kenderaan serta bahagian atas ruang bawah blok yang dijadikan tempat letak kenderaan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah Proton Wira yang terbakar di bahagian hadapan, tiga motosikal masing-masing jenis Honda Beat, Suzuki Smash dan Yamaha Solariz hangus manakala dua lagi motosikal terbakar 50 peratus.

Sementara itu, seorang pemilik motosikal yang hangus, Ang Kok Meng, 49, berkata, dia terkejut mendengar jeritan api semasa berada di bilik tidur rumahnya di tingkat tiga blok berkenaan awal pagi tadi.

“Saya segera bangun dan turun ke lokasi kejadian sebelum mendapati penduduk sedang menyimbah air ke atas beberapa motosikal yang terbakar.

“Sedih kerana motosikal jenis Suzuki Smash milik saya yang diletakkan di ruang parkir itu musnah terbakar bersama tiga lagi motosikal penduduk menyebabkan saya kehilangan satu-satunya kenderaan untuk berulang-alik bekerja sebagai pembantu kedai makan di bandar Sungai Petani,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI