PETALING JAYA – Memuat naik hantaran mempromosikan produk berasaskan nikotin, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan.
Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, mengakui perkongsian dimuat naik tanpa menyelidik dan mengetahui jenis produk yang dipromosikan dalam Instagramnya baru-baru ini.
“Maaf atas kekhilafan saya mengenai produk yang saya masukkan dalam Instagram saya sebelum ini.
“Saya sedar ini adalah khilaf saya tanpa menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk tersebut,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Dalam masa sama, pelantun lagu Sejarah itu berterima kasih atas teguran yang diberikan dan sudah memadam hantaran tersebut dalam media sosialnya.
“Terima kasih di atas teguran, pemberitahuan dan juga memaklumkan perkara ini kepada saya.
“Saya sudah memadam hantaran tersebut dan terima kasih sekali lagi atas teguran yang diberikan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Siti memuat naik hantaran mempromosikan produk nikotin yang dipercayai merupakan perniagaan yang dijalankan anak tirinya iaitu Aazief Khalid. – KOSMO! ONLINE