fbpx

Polis buka kertas siasatan individu tular pandu melulu sehingga terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKAMAN video tular sebuah kereta dipandu melulu dan berbahaya sehingga terbabas di jalan menaiki Genting Highlands di Bentong semalam.

BENTONG- Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang dipercayai memandu secara melulu dan berbahaya sehingga terbabas di Genting Highlands semalam.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 12 saat yang tular di Tik Tok semalam menyaksikan sebuah kereta dipandu laju menekan brek di jalan berselekoh sebelum terbabas ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis menerima laporan pada pukul 11.05 pagi semalam daripada pemandu kereta berkenaan berumur 27 tahun memaklumkan kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 14.7 jalan menghala ke Genting Highlands.

“Pihak polis daripada bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong telah menghubungi pemandu berkenaan untuk tampil memberi keterangan.

“Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya berdasarkan siasatan awal mendapati tindakan pemandu berkenaan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Katanya, pihak polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas serta akan mengadakan operasi secara berterusan untuk memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI