PETALING JAYA – Seorang warga emas berputih mata selepas wang bernilai RM4 juta lesap akibat terjerat dengan sindiket penipuan pelaburan saham yang diiklankan di Facebook.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor menerima satu laporan berkait penipuan itu di daerah Petaling Jaya.
Katanya, wanita tempatan berusia 73 tahun itu bertindak membuat laporan setelah menyedari dirinya ditipu sindiket pelaburan saham berjumlah RM 4 juta.
“Hasil siasatan awal mendapati pada pertengahan bulan November tahun lalu, mangsa telah berminat untuk menyertai pelaburan saham di laman sosial Facebook.
“Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang ditadbir oleh individu yang bernama Alya dan Christopher,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, mangsa dijanjikan pulangan yang lumayan sebanyak lapan hingga 10 peratus sehari.
“Bagi tujuan pelaburan tersebut, mangsa diminta untuk membuat 62 transaksi bayaran melibatkan 10 akaun bank yang berbeza berjumlah RM4 juta.
“Mangsa sedar telah diperdaya apabila mangsa diminta untuk membuat pelbagai bayaran tambahan jika hendak mengeluarkan keuntungan.
“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM4 juta. Modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdayakan mangsa melalui iklan pelaburan di aplikasi media sosial Facebook,” jelasnya.
Tambahnya, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis Diraja Malaysia ingin memberi peringatan kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan yang tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi-aplikasi kewangan/ pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Orang ramai yang mengesyaki sebarang panggilan yang mencurigakan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan,” katanya. -KOSMO! ONLINE.