PETALING JAYA – Perdana Menteri hari ini menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud bagi membincangkan tentang usaha menambah baik kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usah tersebut adalah demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Hari ini saya menerima kunjungan hormat Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di Perdana Putra, dan kami bicarakan usaha menambah baik kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
“Antara yang dibincangkan termasuk perkembangan projek tebatan banjir, pembangunan di sempadan serta projek infrastruktur seperti penjajaran jalan dan pengurusan air.
“Saya titipkan pesanan agar kepedulian terhadap kebajikan rakyat perlu terus menjadi keutamaan dan diuruskan sebaiknya,” tulis beliau dalam satu hantaran di Facebook hari ini.- KOSMO! ONLINE