BURITICUPU, BRAZIL – Sebuah bandar di rantau Amazon, Brazil diletakkan dalam situasi darurat berikutan pembentukan lubang benam gergasi yang mengancam untuk menelan beribu-ribu rumah penduduk, lapor akhbar Daily Star semalam.
Pihak berkuasa bandar Buriticupu membuat pengumuman itu ketika kira-kira 1,200 orang berisiko hilang tempat tinggal akibat lubang benam yang semakin membesar dan menghampiri bangunan kediaman.
Menurut laporan, pelebaran lubang benam itu berpunca daripada kerja-kerja pembinaan yang tidak dibuat dengan betul dan penebangan hutan selama 30 tahun, manakala hujan lebat memburukkan lagi keadaan.
Ia menyebabkan 55,000 penduduk bandar itu berisiko hilang tempat tinggal. Sejumlah kediaman telah pun musnah.
Menurut pihak berkuasa tempatan, lubang benam itu semakin luas sejak beberapa bulan lalu.
Setiausaha Kerja Raya bandar Buriticupu, Lucas Conceicao berkata, pihak majlis perbandaran tidak dapat mencari penyelesaian kepada masalah itu. – AGENSI