SAUDARA PENGARANG
SAYA ingin berkongsi pengalaman sebagai seorang pemohon kerja. Setelah melihat iklan jawatan kosong di sebuah syarikat besar, saya menyiapkan resume dan menghantar permohonan kerja melalui e-mel pada awal Ogos tahun lalu.
Dengan kelayakan dan pengalaman, saya yakin layak untuk dipertimbangkan.
Syukur awal Oktober, saya menerima panggilan temu duga di Kuala Lumpur.
Saya kemudian datang dari sebuah negeri di Selatan.
Selepas selesai temu duga, saya pulang, namun menyedihkan sehingga kini, tiada sebarang balasan, apatah lagi maklum balas ringkas untuk mengesahkan status temu duga itu.
Panggilan telefon langsung tidak pernah berjawab dan kiriman e-mel tidak dilayan.
Sebagai pemohon dari kawasan jauh, saya menghadapi pelbagai cabaran untuk menghadiri temu duga, kos perjalanan sahaja mencecah ratusan ringgit, malah saya perlu mengambil cuti.
Syarikat itu mempunyai cawangan di seluruh negara, namun temu duga hanya diadakan di Kuala Lumpur. Cabaran serupa turut terjadi kepada ramai individu lain.
Tidak membalas e-mel pemohon kerja bukan sahaja mencerminkan kurangnya profesionalisme organisasi, tetapi juga seolah-olah memandang rendah usaha kami sebagai rakyat yang ingin menyumbang bakti melalui pekerjaan.
Dee
Bukit Beruang, Melaka