TUMPAT – Taktik licik seorang lelaki warga Thailand yang menyembunyikan tiga ekor burung ketitir bernilai RM6,000 di bawah timbunan beg pakaian di dalam but keretanya terbongkar apabila ditahan semasa melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Pengkalan Kubor di sini pada minggu lalu.
Lelaki yang berusia dalam lingkungan 50-an itu dicekup pada 16 Februari lalu semasa pegawai bertugas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) memeriksa sebuah kereta bernombor pendaftaran tempatan dipandu suspek.
Ketua Pintu Masuk Maqis Pengkalan Kubor, Mohd. Ariwadi Mohd. Salleh berkata, lelaki itu membantu pegawai bertugas memeriksa bahagian belakang dan but kereta tersebut sebelum menjumpai satu sangkar burung yang diperbuat daripada buluh.
Menurutnya, pegawai Maqis kemudian terdengar bunyi burung selepas mengangkat timbunan beg di dalam but kereta itu.
“Tiga ekor burung masih hidup yang masing-masing dianggarkan bernilai RM2,000 itu diletakkan di dalam bekas plastik yang dilapis dengan span pada bahagian atasnya bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Bekas plastik berisi burung ketitir itu disembunyikan di bawah timbunan beg pakaian. Siasatan lanjut mendapati, tindakan itu merupakan cubaan pemandu kereta itu untuk menyeludup burung tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Ariwadi memberitahu, ketiga-tiga ekor burung itu dirampas kerana dikhuatiri membawa penyakit selesema burung.
Menurutnya, haiwan hidup itu dipercayai dibawa masuk tanpa permit Maqis yang sah dan sijil kesihatan veterinar dengan menggunakan kenderaan persendirian.
“Tindakan mengimport sebarang keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728,” ujarnya.
Tambah beliau, seksyen itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE