JOHOR BAHRU – Seramai lebih 80 peratus daripada pembayar cukai di negara ini didapati mematuhi pembayaran cukai mengikut jumlah taksiran yang disemak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan individu dan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin bagaimanapun berkata, masih terdapat ruang bagi pihaknya meningkatkan tahap kepatuhan pembayaran cukai dalam kalangan rakyat tempatan.
Menurut beliau, prestasi kutipan cukai keseluruhan LHDN pada tahun 2023 adalah berjumlah RM183.4 bilion.
“Berdasarkan data yang kita terima, kutipan itu adalah lebih tinggi berbanding kutipan tahun terdahulu. Walau bagaimanapun, usaha berterusan akan dibuat bagi memastikan semua pembayar cukai aktif melunaskan tanggungjawab mereka.
“Pematuhan terhadap pembayaran cukai ini merupakan satu proses berterusan dan kita rasa masih ada ruang untuk ditingkatkan, sebab itu kita menjalankan operasi-operasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Dagang Peringkat Nasional 2025 di Menara LHDN Johor Bahru, di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi dijalankan LHDN bukan bertujuan untuk menghukum pembayar cukai yang culas, sebaliknya mendidik dengan harapan tahap kesedaran pematuhan dapat ditingkatkan. – KOSMO! ONLINE