fbpx

Kerajaan jimat 20 peratus selenggara sendiri pesawat F/A-18 Hornet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled ketika lawatan ke Pangkalan Udara Butterworth, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO! ONLINE

SEBERANG PERAI – Kerajaan berupaya berjimat 20 peratus kos perbelanjaan susulan pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diselenggara syarikat pertahanan tempatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan kerja penyelenggaraan mandatori itu bertujuan memastikan aset negara berada dalam keadaan terbaik.

Menurutnya, 70 peratus penyelenggaraan pesawat pejuang berkenaan dilaksanakan oleh syarikat tempatan sekali gus membantu membangunkan industri aeroangkasa negara.

“Kemampuan syarikat tempatan yang terlibat dalam dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset turut menggunakan 100 peratus tenaga kerja tempatan.

“Ia dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga 20 peratus berbanding penyelenggaraan di luar negara malah dapat memendekkan tempoh (penyelenggaraan) yang kadangkala boleh mengambil masa sehingga setahun untuk siap.

“Ini membuktikan syarikat tempatan memiliki kekuatan dan keupayaan untuk menyelenggara aset negara,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Butterworth di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, kerajaan turut memperuntukkan sejumlah dana bagi menjalankan penyelenggaraan rumah-rumah anggota tentera.

“Projek bernilai RM420 juta bagi tahun ini melibatkan lebih 90 kem tentera di seluruh negara. Ia termasuk projek baharu untuk membina 164 unit rumah bagi anggota di Butterworth manakala RM9.2 juta diperuntukkan untuk menyelenggara rumah sedia ada bagi tahun ini sahaja.

“Kerajaan komited meningkatkan kebajikan anggota tentera yang memainkan peranan penting dalam berjuang memelihara keselamatan negara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI