KUALA LUMPUR – Atlet boling kebangsaan, Muhammad Hafiz Zainuddin membuktikan kemampuan diri apabila berjaya merangkul kejuaraan pada Kejohanan Boling Antarabangsa Dubai ke-11 di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) semalam.
Hafiz yang beraksi dalam kategori terbuka memastikan gelaran sulung di pentas antarabangsa selepas menamatkan saingan dengan catatan 1,744 jatuhan pin pada aksi berlangsung di Pusat Boling Antarabangsa Dubai itu.
Kejayaan itu menjadi lebih bermakna buat Hafiz memandangkan dia dan seorang lagi wakil negara, Muhammad Syazirol Shamsudin mengeluarkan duit sendiri bagi membiayai penyertaan mereka di sana.
“Kedua-dua atlet ini menanggung sendiri perbelanjaan mereka untuk beraksi pada kejohanan tersebut dan tidak ada atlet Malaysia yang lain selain mereka berada di sana,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok.
Gelaran naib juara dimenangi atlet Bahrain, Ahmed Al Mahri dengan 1,731 jatuhan pin diikuti wakil tuan rumah, Hassan Al Zaabi menerusi catatan 1,729 jatuhan pin, manakala Syazirol di tempat kelima selepas melakukan 1,722 jatuhan pin.
Menerusi kemenangan itu, Hafiz mendapat durian runtuh apabila membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah 50,000 AED (RM60,000) berserta trofi.
Dalam perkembangan lain, tiga atlet sandaran seperti Muhammad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd. Fishol dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam sedang melakukan persiapan rapi sebelum ke Amerika Syarikat 27 Februari ini.
Ketiga-tiga atlet berkenaan akan menyertai seorang lagi atlet negara, Timmy Tan sebelum beraksi pada kejohanan Siri Boling Dunia yang berlangsung di Nevada bermula 3 hingga 22 Mac depan. – KOSMO! ONLINE