SHAH ALAM – Kadar zakat fitrah di Selangor pada Ramadan tahun ini kekal seperti tahun sebelumnya iaitu RM7.
Perkara itu dimaklumkan Exco Hal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Muhammad Fahmi Ngah pada sesi penggulungan Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
“Untuk makluman Yang Berhormat (YB), kadar zakat zakat fitrah ditetapkan di Selangor adalah RM7 sahaja,” katanya
Terdahulu beliau menjawab soalan yang dibangkitkan Dr. Mohd. Zamri Mohd. Zainuldin (PN-Sungai Burong) mengenai fatwa berhubung pembayaran zakat fitrah menggunakan beras susulan pencampuran beras tempatan dan import.
Muhammad Fahmi menjelaskan perkara itu telah lama diselesaikan dan tidak perlu dipanjangkan.
“Saya ingin jelaskan kepada Yang Berhormat (YB) bahawa saya tidak pandai bab-bab fatwa, saya ini Exco Agama sahaja. Di negeri Selangor ini pun kalau Sungai Burung jadi Exco pun, ada Jawatankuasa Fatwa dan orang cerdik pandai yang lebih tinggi ilmunya, dan ada muzakarah di peringkat negeri dan persekutuan.
“Selain itu, kena lalui pegawai undang-undang kerajaan negeri dan paling penting di sini adalah bukan sahaja melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tetapi perkenan Ulil Amri (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah)
“Jadi, tidak perlulah kita pertikai dan persoalkan sama ada nak bayar dengan Ringgit Malaysia (RM) atau hendak bayar beras itu sendiri. Perkara itu sudah lama selesai dan tiada masalah.
“Kalau ada rasa termakan beras basmathi dan beras super special tempatan (SST) tersebut, digalakkan untuk membayar RM22 paling maksimun. Apalah sangat RM22 dengan gaji YB,” katanya.
Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataannya menegaskan kadar zakat fitrah adalah RM7, RM15 dan RM22 seorang mengikut gred dan jenis beras yang di makan kebanyakan penduduk Islam di negeri ini.
LZS turut menggunakan kupon fitrah berwarna bagi memudahkan pembayaran mengikut kadar yang ditetapkan.
“Kupon hijau mewakili kadar RM7, kupon merah (RM15) dan kupon oren (RM22). Seramai 2,836 Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh negeri ini telah dilantik bagi memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah yang boleh dikenalpasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan rasmi daripada LZS.
“Selain itu, pembayaran zakat fitrah juga boleh dilakukan melalui 18 Penolong Amil di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta 97 Maahad Tahfiz dan Sekolah Agama Swasta di Selangor,” katanya.
Jelasnya, LZS turut menyediakan platform pembayaran dalam talian sebagai saluran alternatif seperti EzakatPay, perbankan internet, Portal MyEg, Pos Online danAplikasi e-dompet GoPayz dan Boos.-KOSMO!ONLINE