BANGKOK – Seorang wanita di wilayah Chumphon mendedahkan salah laku suaminya yang didakwa kerap menerima rasuah selepas mendapat tahu kecurangan lelaki itu, lapor laman berita Thaiger.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Ae, 39, berkata, dia nekad mengambil tindakan itu selepas suaminya yang merupakan pegawai polis, tidak membenarkan dia bertemu dengan anak-anak.
Menurut Ae, selepas berkahwin pada 2004, kedua-dua mereka tinggal berasingan. Ae tinggal di Surat Thani, manakala suaminya menetap di Chumpon, namun mereka kerap berjumpa.
Namun, pada tahun lalu, suaminya mula bersikap dingin, malah tidak membenarkan Ae bertemu dengan anak-anak mereka.
Keadaan itu membuatkan Ae curiga sebelum dia mendapat tahu mengenai kecurangan suaminya dengan wanita lain pada 30 Disember tahun lepas.
Selepas cuba bersemuka dengan si suami dan kekasih gelapnya, Ae mendakwa bahawa wanita tersebut menyerangnya serta mengeluarkan kata-kata hinaan kepadanya.
Suaminya juga dikatakan tidak menghalang tindakan wanita itu, menyebabkan Ae membuat laporan kepada pegawai polis atasan.
Selepas laporannya tidak diendahkan, Ae nekad membuat pendedahan umum mengenai sikap suaminya yang kerap menerima rasuah.
Dia juga menunjukkan sebuah buku nota mengandungi catatan bagi setiap wang rasuah yang diterima suaminya.
Setakat ini, tidak dinyatakan sama ada lelaki tersebut dikenakan tindakan, namun dia enggan memberikan komen kepada media. – AGENSI