SHAH ALAM – Pelakon popular, Anna Jobling berjaya mempertahankan trofi utama tahun berturut-turut di Gempak Most Wanted Awards 2024 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam sebentar tadi.
Anna atau nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman Jobling, 25, tidak hanya pulang dengan satu trofi, tetapi turut menjulang anugerah Selebriti Tergempak dan Drama Tergempak menerusi siri popular Syurga Itu Bukan Mudah bergandingan dengan Amir Ahnaf.
Jumlah undian yang diraihnya juga turut meningkat tiga kali ganda daripada tahun lalu iaitu 1.9 juta kepada 4.9 juta tahun ini.
Anna sewaktu ditemui di sidang media usai acara mengakui terharu apabila sekali lagi meraih anugerah sama.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT. Sebenarnya saya tidak sangka akan menang kategori utama.
“Ini semua hasil kerja keras peminat yang bersengkang mata tak tidur undi siang malam untuk memastikan saya menang.
“Jadi saya ingin ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada mereka, pihak media yang selalu menyokong saya, juga kepada Astro kerana banyak memberi peluang kepada saya,” katanya.
Selain Anna, penyanyi Aina Abdul turut membawa pulang anugerah Lagu Tergempak, Insomniacks ( Video Muzik Tergempak), Khairul Aming ( Digital Creator Foodie Tergempak) Ryan Bakery ( Digital Creator Entertainment Tergempak) dan banyak lagi. – KOSMO! ONLINE