DUNGUN – Seorang suri rumah tidak menyangka jeritan anak lelakinya di luar rumah rupa-rupanya akibat serangan seekor beruk liar di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini semalam.
Zaharah Yaakob, 50, tergamam mendapati anaknya, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, dalam keadaan berlumuran darah sedang bergelut dengan beruk berkenaan di halaman rumahnya pada pukul 5.30 petang.
“Sewaktu mendengar teriakan Ammar, saya yang sedang memasak di dapur pada mulanya ingatkan dia sedang bergaduh dengan kembarnya.
“Rupa-rupanya dia diserang beruk sedangkan kembar untuk pergi mengaji (al-Quran) lebih awal,” katanya di sini hari ini.
Zaharah berkata, seorang anak perempuannya berusia 27 tahun kemudiannya bertindak berani menghalau beruk terbabit sekaligus menyelamatkan Muhammad Ammar Hakim.
Dia berkata, anak bongsunya daripada enam beradik kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Al Muktafi Billah Shah di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
“Serangan beruk terbabit menyebabkan Muhammad Ammar Hakim mengalami kecederaan pada bahagian belakang, punggung dan tangan kiri. Dia juga terpaksa menjalani pembedahan. Alhamdulillah keadaannya kini stabil,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, perangkap untuk menangkap beruk liar tersebut telah dipasang sebaik menerima aduan serangan terbabit pada pukul 7.30 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE