SETIU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah menyita gula-gula kenyal ‘gummy ball’ membabitkan nilai rampasan kira-kira RM1,300 di seluruh negeri ini sejak kelmarin.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, operasi terbabit diambil berikutan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Pulau Pinang akibat tercekik gummy eye ball pada Khamis lalu.
Beliau berkata, pasukan penguatkuasaan JKNT telah merampas gula-gula terlarang terbabit di beberapa premis perniagaan yang didapati masih menjualnya sekitar daerah Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Marang.
“Kita telah menubuhkan pasukan penguatkuasaan untuk membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap penjualan gula-gula (gummy ball) ini.
“Tindakan penguatkuasaan termasuk rampasan telah diambil setelah pemeriksaan mendapati ia melanggar peraturan pelabelan (di bawah Peraturan peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983), katanya Dewan Komuniti Sri Langkap di sini hari ini.
Sebelum ini KKM pada Jumaat lalu telah melarang penjualan gula-gula ‘gummy ball’ terbabit termasuk menerusi platform dalam talian.
Ia berikutan kematian Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, akibat tercekik dua biji gula-gula terbabit pada Khamis lalu.
Siasatan KKM juga mendapati produk yang menjadi kegemaran kanak-kanak tersebut menyalahi keperluan pelabelan diperuntukkan di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983. – KOSMO! ONLINE