JOHOR BAHRU – Geng Farid yang aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal jenis Yamaha 135 LC sejak Oktober lalu lumpuh setelah empat ahli termasuk dalang ditahan dalam Ops Lejang Khas, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, empat lelaki Geng Farid yang ditahan itu berusia lingkungan 33 hingga 37 tahun.
Katanya, geng curi motosikal itu diburu polis susulan laporan yang diterima dari seorang lelaki warga tempatan berumur 19 tahun pada 21 Oktober lalu.
Tambahnya, mangsa mendakwa rumahnya di Jalan Mahmoodiah, di sini dipecah masuk dan motosikal yang diparkir di pekarangan rumah telah dicuri.
“Bertindak atas maklumat, pada Jumaat lalu antara pukul 9.30 hingga 11.30 pagi, pihak polis melakukan dua serbuan di tiga lokasi berasingan di Kampung Melayu Majidee, Bandar Seri Alam dan Bandar Permas Jaya.
“Dalam serbuan pertama, polis menahan tiga lelaki berumur 33 hingga 37 tahun termasuk ketuanya dikenali sebagai Farid dan menyita tiga motosikal Yamaha 135 LC yang berada dalam keadaan tidak sempurna tanpa nombor pendaftaran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, hari ini.
Menurut Raub, dalam serbuan kedua, seorang lagi suspek berumur 36 tahun ditahan di Jalan Ubi Pulut di sini, dan merampas sebuah lagi Yamaha 135 LC dengan nombor pendaftaran palsu serta kunci motosikal.
Jelasnya, penangkapan empat suspek yang disyaki bergiat aktif sejak lima bulan lalu itu berjaya menyelesaikan empat kes kecurian motosikal sekitar Johor Bahru dan Masai.
Raub berkata, tiga daripada empat suspek mempunyai sebanyak 26 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan curi kenderaan dan dadah selain kesemua positif dadah.
“Kesemua suspek direman sehingga Rabu depan dan kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE