KULIM – Mempromosi dan menjual barangan milik syarikat sehingga mencatat jualan ratusan ribu ringgit untuk menyumbang kepada pendapatan ibu pejabat adalah satu kemahiran luar biasa buat seorang usahawan, Zulkifli Yusop pada fasa awal kerjayanya tahun 2005.
Namun, ‘jodoh’nya dengan syarikat bumiputera yang berpangkalan di Pulau Pinang itu tidak panjang sehingga memaksa beliau mengundur diri kerana jasa dan kebaikannya tidak dihargai dengan kenaikan gaji.
Terasa diri mampu bergerak lebih jauh dengan bekerja sendiri, Pengasas Syarikat First Grade Resources Sdn. Bhd. (First Grade) itu telah berjinak-jinak menjual produk minyak wangi sekitar tahun 2007.
“Dengan bermodalkan hanya RM1,000, saya menghasilkan produk minyak wangi buatan sendiri dengan jenama First Grade Perfumes sehingga mencecah jualan kepada RM80,000 dalam tempoh tiga minggu sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran kilang terbaharunya di Jalan Junjung di sini baru-baru ini.
Kilang bernilai kira-kira RM25 juta hasil daripada simpanan sendiri itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Turut hadir pada sesi temu bual itu adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mukhlis Zulkifli.
Zulkifli menerangkan, kilang pengeluaran berasaskan pengilang peralatan asal (OEM) untuk produk minuman dan kosmetik itu dibina di kawasan 1.2 hektar dengan dikuasai oleh peralatan automasi untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran kilang berkenaan.
Jelasnya, pembinaan kilang baharu ini adalah untuk memenuhi tempahan dan permintaan yang tinggi daripada pelanggan dan juga ruang untuk penyimpanan stok yang lebih luas.
Graduan bidang ekonomi dari Universiti Utara Malaysia itu menambah, kilang pengeluarannya kini menghasilkan lebih daripada 20 produk dan antara yang terkenal adalah air minuman berjenama CoCoa Collagen, Tok Babah, produk untuk wanita, barangan berkaitan produk penjagaan kesihatan rambut termasuk syampu dan serum rambut, barangan penjagaan kesihatan kulit yang dikenali sebagai Bubble Groove.
Mengulas lanjut mengenai perniagaan OEM yang diusahakan, usahawan ini menerangkan, sehingga kini, lebih daripada 5,000 jenis produk telah dihasil dan diserahkan kepada pengasas produk untuk dijual di pasaran melalui konsep perniagaan masing-masing.
“Dengan pelancaran kilang baharu ini, pastinya ia mengukuhkan keyakinan pelanggan terhadap tempahan yang semakin bertambah pada masa depan, disusuli dengan testimoni positif daripada pelanggan sedia ada.
“Kami menyasarkan jualan pada tahun ini bakal mencecah kepada RM100 juta berbanding RM20 juta tahun sebelumnya,” ujarnya.
Pengoperasian syarikat kini telah disokong oleh 190 pekerja berbanding hanya empat pekerja ketika mula dibuka di kilangnya lama.
Syarikat juga memiliki sebuah cawangan pejabat di Jitra yang dijadikan sebagai pusat pemasaran untuk membantu lebih ramai usahawan bumiputera menjadi pengasas produk yang berjaya pada masa depan.
Zulkifli menambah, produk yang dihasilkan melalui satu proses kajian dan pembangunan dengan teliti.
“Kami mementingkan kualiti produk agar pelanggan tidak berdepan dengan pelbagai isu yang membolehkan ia memberi kesan negatif kepada mereka.
“Kami mengamalkan satu formulasi untuk sebuah syarikat dan ia adalah milik pengasas syarikat tersebut, ia tidak boleh dikongsi bersama pemilik syarikat yang lain.
“Biarlah orang luar menganggap caj perkhidmatan yang kami kenakan lebih tinggi tetapi kami tidak berkompromi dengan kualiti produk,” jelasnya.
Ditanya tentang perancangan terbaharu syarikat, Zulkifli berkata, pihaknya bercadang mahu membangunkan produk berjenama sendiri agar ia dapat memberi nilai tambah kepada pendapatan syarikat jangka panjang. -KOSMO! ONLINE