fbpx

EPL: Newcastle United menang, hampiri ‘Top 4’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jacob Murphy (tengah) meraikan gol bersama rakan sepasukan pada aksi sebentar tadi. Foto AFP

LONDON – Pasukan Newcastle United terus memberi tekanan untuk mencabar kedudukan ‘Top 4’ selepas menewaskan Nottingham Forest 4-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium St. James Park itu, skuad The Magpies mengekalkan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan diketuai oleh Aleksander Isak, Anthony Gordon dan Jacob Murphy.

Namun, pasukan pelawat terlebih dahulu meraih gol pembukaan hasil penyudah berbisa yang dipamerkan oleh pemain sayap, Callum Hudson-Odoi seawal minit ke-6.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad kendalian Eddie Howe itu memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Lewis Miley pada minit ke-23.

Jaringan tersebut menaikkan semangat Newcastle untuk menggandakan kelebihan dan kini giliran Murphy mencetak nama sebagai penjaring berselang dua minit kemudian.

Momentum tersebut diteruskan apabila penyerang sensasi, Isak meledak dua gol dalam tempoh dua minit selepas menyudahkan penalti pada minit ke-33 sebelum menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-34.

Bersambung pada babak kedua, Forest mempamerkan semangat juang tinggi untuk bangkit apabila Nikola Milenkovic merapatkan kedudukan menjadi 2-4 menerusi situasi sepakan penjuru pada minit ke-63.

Forest terus berusaha untuk mengasak dalam misi mencuri mata berharga tetapi gol yang dijaringkan oleh Ryan Yates pada penghujung perlawanan sudah terlewat dengan keputusan 4-3 kekal sehingga wisel penamat.

Keputusan tersebut menyaksikan Newcastle kini menduduki tangga kelima EPL dengan mengutip 44 mata manakala Forest kekal dengan 47 mata selepas mengharungi 26 perlawanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI