LIVERPOOL – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengakui pasukannya seakan ‘tidak wujud’ pada babak pertama ketika terikat 2-2 menentang Everton di Goodison Park kelmarin.
Kerapuhan benteng pertahanan menyaksikan Everton berjaya mendominasi babak pertama hasil jaringan Beto dan Abdoulaye Docoure, namun United hanya bangkit pada babak kedua bermula jaringan Bruno Fernandes sebelum Manuel Ugarte meledak gol penyamaan.
“Jika kami bermula tanpa separuh masa pertama dan tanpa bolos dengan dua gol, itu mungkin lebih baik. Perkara paling teruk adalah kami membiarkan pemain mereka bebas, kerap hilang bola dan gagal memberikan tekanan.
“Kami tidak melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan dan ia perlawanan yang sukar. Kami berdepan cabaran hebat selepas ketinggalan dengan dua gol. Saya fikir aksi kami terlalu ‘lembut’ berdepan mereka,” katanya.
Ketika ditanya cara beliau akan gunakan untuk mengatasi situasi prestasi terumbang ambing United, Amorim mengakui akan terus kekal menggunakan sistem yang diterapkan biarpun berdepan kritikan.
“Kami akan menjalani latihan dan meneruskan apa yang telah dilakukan. Sebab itu, saya tidak melakukan apa-apa perubahan pada babak kedua, kami perlu terus melakukan perkara sama, tetapi dengan cara lebih baik,” jelasnya.
Legenda United, Rio Ferdinand menyifatkan aksi yang dipamerkan pemain United pada babak pertama adalah sukar untuk dimaafkan dan sangat memalukan kerana mereka tidak memiliki keinginan untuk memenangi perlawanan. – AGENSI