ALOR SETAR – Dua lelaki yang berdepan saman fitnah dengan tuntutan kerugian RM5 juta membuat permohonan maaf kepada pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Dua individu terbabit yang dinamakan sebagai defendan dalam kes itu ialah Ku Muhammad Khairul Amzad Ku Ahmad, 26, dan Mohd Fairus Shaari @ Mohd Fazil, 31.
Mereka didakwa bersekongkol memfitnah Ahmad Husam selaku plaintif dengan dua lagi defendan iaitu pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri keenam, Muhammad Mukhlis Maghribi, 38, serta bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Zamil Ibrahim, 58.
Ku Muhammad Khairul dan Mohd Fairus memohon maaf kepada Ahmad Husam yang hadir pada prosiding itu di hadapan Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari.
Mereka turut menyatakan aku janji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dalam apa juga cara yang boleh mencemarkan reputasi dan imej serta menyebabkan rasa malu, kerosakan atau kesusahan kepada Ahmad Husam.
Ahmad Husam memberitahu kepada mahkamah bahawa beliau menerima permohonan maaf daripada kedua-dua defendan terbabit sebelum bersalaman.
Hakim Arik pada prosiding itu turut menasihatkan kepada defendan supaya tidak lagi mengulangi perbuatan berkenaan.
Terdahulu, peguam, Muhammad Asyraf Abd Aziz yang mewakili Ahmad Husam memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik dengan dua daripada empat defendan akan membuat permohonan maaf kepada plaintif di mahkamah secara terbuka.
Pada prosiding sama, mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kes saman fitnah berkenaan terhadap dua lagi defendan iaitu Muhammad Mukhlis dan Zamil pada Oktober dan November depan.
Ahmad Husam ketika ditemui di luar kamar mahkamah berkata, beliau menerima permohonan maaf daripada defendan ketiga dan keempat itu dengan harapan ia menjadi pengajaran berguna kepada mereka, selain sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi.
“Proses undang-undang terhadap dua lagi defendan akan diteruskan yang mana tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada Oktober depan dengan lapan saksi,” katanya.
Pada 14 Disember 2023, pendakwah bebas, Ahmad Husam memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap empat individu dengan menuntut RM5 juta atas dakwaan memfitnahnya menerusi media sosial.
Ahmad Husam menamakan empat individu sebagai defendan iaitu pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri keenam, Muhammad Mukhlis dan bekas Presiden Parti KITA, Zamil.
Dua lagi individu yang disaman adalah Ku Muhammad Khairul Amzad Ku Ahmad dan Mohd Fairus Shaari @ Mohd Fazil yang didakwa bersekongkol memfitnah Ahmad Husam.
Ahmad Husam selaku plaintif menegaskan bahawa kenyataan fitnah yang diterbitkan defendan dalam notis berkenaan adalah berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran amat buruk kepada orang ramai bahawa plaintif adalah seorang penunggang agama yang tidak amanah, penipu dan tidak boleh dipercayai. – KOSMO! ONLINE