SHAH ALAM – Pencipta kandungan popular, Ryan Bakery menasihati pempengaruh media sosial agar berhati-hati memuat naik kandungan jenaka yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
Menurut Ryan atau nama lengkapnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 29, tidak semua pihak selesa apabila nama mereka dipetik dan digunakan sebagai bahan kandungan video.
“Kita perlu berhati-hati apabila membuat konten terutama melibatkan nama seseorang.
“Si pelaku juga adalah seseorang yang dikenali dan begitu juga dengan nama individu yang disebut. Mungkin ada segelintir yang boleh terima jenaka seperti itu, tetapi bukan semua orang sama,” katanya ketika ditemui pada Gempak Most Wanted Awards 2024, di sini, semalam.
Ryan mengulas mengenai kontroversi seorang pempengaruh yang didakwa memuat naik kandungan didakwa memfitnah seorang pelakon mengambil barang terlarang.
Pernah berhadapan situasi serupa, pelantun lagu Raya Last Minit itu berpendapat, memohon kemaafan dengan tulus adalah langkah terbaik demi memastikan isu seperti ini tidak dipanjangkan.
“Nasi sudah jadi bubur, minta maaf sahajalah secara profesional dan jangan panjangkan lagi masalah itu. Bila ego tinggi, ia jadi lebih susah dan sukar.
“Sebagai orang muda kita mungkin tidak tahu perasaan orang tua, bukan semua orang boleh terima lawak kita.
“Saya juga pernah dikecam gara-gara hal yang lebih kurang sama. Kemudian saya buat permohonan maaf dan menjelaskan bahawa saya tidak ada sebarang niat buruk. Saya ambil pengajaran untuk tidak mengulanginya lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ryan berharap pempengaruh media sosial yang mempunyai jutaan pengikut dapat merendahkan ego dan berlapang dada menerima teguran daripada pelbagai pihak.
“Orang yang ada pengikut berjuta tidak bermakna mereka tidak boleh disentuh. Jika mereka rasa begitu, maksudnya dia tidak sedar diri.
“Kita kena sedar apa yang kita miliki hari ini sebab orang menyukai konten kita. Kalau orang sudah tidak mengikuti, maka hilanglah semuanya.
“Tentang adab pula, (itu) memang sewajarnya ditegur. Adab nombor satu,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Ryan dinobatkan sebagai pemenang Digital Content Creator (Entertaiment) 2024 menumpaskan pencabar terdekatnya Kasih Leona Iris, Acap S, Shah Zakaria, dan Steph Beauty. – KOSMO! ONLINE