KLANG – Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Batu 3, Kampung Bukit Kuda di sini lewat petang tadi.
Mangsa, Azhehari Ansar, 46, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Selatan telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 6.31 petang sebelum tiba enam minit kemudian.

Katanya, berdasarkan maklumat awal melibatkan sebuah kereta jenis Mercedes dinaiki dua beranak telah dihempap sebatang pokok yang tumbang.
“Seorang mangsa kanak-kanak telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam, manakala bapanya tersepit dan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu.
“Kerja-kerja memotong pokok dilakukan dengan mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 7.12 petang sebelum disahkan meninggal dunia oleh KKM,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE