KUALA LUMPUR – Pernah berdepan kemelut pembatalan konsert saat akhir, penyanyi Aisha Retno mengakui belum terbuka hati untuk mengadakan persembahan berskala mega buat masa ini.
Sebaliknya, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, hanya sedia menjayakan showcase secara kecil-kecilan khas buat peminat.
“Sejujurnya, saya tidak ingin mengadakan konsert berskala besar pun dari awal. Saya cuma mahu tampil dalam showcase kecil-kecilan.
“Insya-Allah selepas mengeluarkan album, saya mahu buat persembahan istimewa bagi sesiapa yang sudi datang iaitu membabitkan sekitar 100 pentonton.
“Kalau showcase kecil-kecilan tersebut dapat dijayakan, sayalah orang paling bahagia,” katanya kepada Kosmo! Online pada pertunjukan fesyen Lip Lap Raya di KWC Fashion Wholesale semalam.
Ditanya mengenai perkembangan terkini kes antaranya dengan penganjur Kharisma Music International yang diwakili penyanyi Yuka Kharisma, pelantun lagu Sutera itu memaklumkan isu belum selesai selain tidak menyesal berhadapan kontroversi demikian.
“Memang kami selesaikan secara tertutup dan kes masih berjalan, belum selesai lagi tetapi saya nak fokus kepada karier saya.
“Benda ini biasa dalam hidup, kita akan lalui perkara begini (kontroversi) supaya sedar diri dan lebih berhati-hati namun saya tidak menyesal melalui fasa tersebut sebab dapat memotivasikan diri serta kenal ramai orang ikhlas yang mahu membantu saya dalam kes terbabit.
“Apa-apa pun kerja tetap kerja. Cumanya, hubungan kami tercalar tetapi saya nak fokus ke hadapan tanpa ada drama,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Aisha mengakui hidupnya terkesan selepas terlibat dalam kontroversi terbabit tetapi bersyukur lebih ramai yang mengenali dirinya.
“Siapa sahaja tidak sedih dan stres tetapi saya percaya orang lain pun ada tekanan masing-masing. Ini minat saya, saya masih nak menyanyi.
“Ada juga orang cakap saya ‘people pleaser’ (tindakan menyenangkan orang lain) sebab itu saya perlukan pasukan yang kuat. Ini memang pengajaran bagi saya.
“Secara tersurat memang terkilan tetapi secara tersirat, ramai orang kenal saya walaupun dengan cara negatif,” jelasnya.
Kemelut antara Aisha Retno dengan Kharisma Music International berlaku susulan pembatalan konsert Malam Sutera Aisha Retno pada saat akhir iaitu seminggu sebelum persembahan yang sepatutnya berlangsung 16 November lalu.
Kharisma Music International selaku penganjur mendakwa pembatalan konsert dilakukan kerana jualan tiket yang sangat perlahan.
Sebelum itu, penganjur turut menuntut baki wang sebanyak RM77,000 daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM83,000 yang didakwa dipinjam ketika bertanding di pentas AJL38, Mac lalu. – KOSMO! ONLINE