KUALA LUMPUR – Sebanyak 142 agensi Persekutuan mempunyai aset berjumlah RM2.696 trilion berbanding liabiliti berjumlah RM0.871 trilion berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam satu kenyataan media berkata, bagaimanapun lima agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti lebih tinggi berbanding jumlah aset.
Menurut beliau, sebanyak 98 daripada 142 agensi Persekutuan menerima geran berjumlah RM33.628 bilion daripada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 yang terdiri daripada geran mengurus sejumlah RM16.305 bilion dan geran pembangunan sejumlah RM17.323 bilion.
“Manakala 97 agensi Persekutuan mempunyai baki geranpembangunan berjumlah RM21.399 bilion. Daripada 142 agensi Persekutuan, 20 mempunyai pinjaman diterima berjumlah RM126.564 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan institusi kewangan.
“Lima daripadanya merupakan pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM99.058 bilion, manakala empat agensi membuat pinjaman baharu berjumlah RM7.309 bilion pada tahun 2023.,” katanya mengulas LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023.
Berdasarkan LKAN 1/2025, antara lima agensi Persekutuan menunjukkan jumlah liabiliti lebih tinggi berbanding jumlah aset adalah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)
PR1MA memiliki liabiliti bersih berjumlah RM342.46 juta disebabkan oleh Dana Pinjaman (Sukuk) yang perlu diselesaikan sehingga 2027 dan tidak dapat ditampung oleh aset sedia ada.
Bagi SWCorp, liabiliti berjumlah RM140.15 juta disebabkan Pemiutang Syarikat Konsesi dan Perbelanjaan Terakru yang tinggi berbanding jumlah aset sedia ada. – KOSMO! ONLINE