KUALA LUMPUR – Seramai 311 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setakat 14 Januari lalu kerana terbabit penyalahgunaan kuasa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, antara tindakan itu diberi amaran, denda, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan dibuang kerja.
“Dua penjawat awam sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Integriti pegawai dan kakitangan kerajaan sangat mustahak. Tiada komporomi dalam hal ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan S Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung tindakan susulan terhadap penjawat awam yang terbabit dalam penyelewengan dana awam.
Terdahulu, Kulasegaran berkata, sebanyak 12,393 isu yang dikaitkan dengan penyelewengan pendanaan awam telah diaudit sejak 2012 sehingga Januari 2025.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 11,594 isu berjaya diselesaikan, manakala 799 dalam tindakan susulan.
“Bagi tindakan sehingga 24 Februari 2025, 32 isu disiasat polis, 138 isu disiasat SPRM dan 116 isu melibatkan jawatankuasa khas siasatan (JKS) dan jawatankuasa siasatan dalaman (JKSD) diselaraskan JPA,” katanya.
Ujar beliau, kerajaan berusaha memastikan dana awam digunakan dengan berkesan dan tidak diselewengkan melalui tindakan susulan berkesan.
“Dengan pengawasan berterusan dan ketelusan dipertingkatkan, kerajaan dapat mengurangkan ketirisan serta meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan di sektor awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE