KUALA LUMPUR – Sebanyak 151 projek dilaksanakan lima universiti penyelidikan melalui Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) bernilai RM23.69 juta didapati berada pada tahap bermasalah.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari menyebut, sebanyak 1,119 projek bernilai RM148.04 juta pula berada pada tahap kurang memuaskan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan pengurusan DPF oleh lima Universiti Penyelidikan, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memerlukan pemantauan secara berkala.
“Ia bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
“Laporan audit menunjukkan tahap kemajuan projek penyelidikan DPF berada pada tahap kurang memuaskan (53.9 peratus). Hanya 11.3 peratus projek yang dilaksanakan berada pada tahap baik, sementara 7.3 peratus dikategorikan bermasalah,” katanya.
LKAN 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 menyatakan, sehingga 1 Disember 2023, sebanyak 2,077 projek penyelidikan DPF bernilai RM285.44 juta sedang dilaksanakan lima universiti penyelidikan.
Universiti terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Daripada 2,077 projek penyelidikan itu, tahap kemajuan projek berstatus baik membabitkan 236 projek (11.3 peratus) bernilai RM35.74 juta, manakala 571 projek (27.5 peratus) bernilai RM77.97 juta berstatus memuaskan. – KOSMO! ONLINE