KUALA LUMPUR – Berdepan cabaran fizikal dan mental tidak menjadi penghalang buat 15 peserta membuktikan kemampuan diri apabila berjaya menamatkan larian ultra maraton jalan raya dengan jarak 400 kilometer (km) pada kejohanan Route 68 Ultra.
Cabaran ekstrem sempena ulang tahun ke-10 Route 68 Ultra itu yang memulakan saingan di perkampungan Orang Asli Gombak 18 Februari lalu memperuntukkan masa selama 120 jam kepada perserta untuk menamatkan larian masing-masing.
Laluan sejauh 400km itu menyaksikan peserta melalui kawasan berbukit dan hutan dengan stesen pemeriksaan di Genting Sempah, Bukit Tinggi dan Janda Baik selain memerlukan mereka melakukan pendakian dengan tinggi keseluruhan 6,144 meter (m).
Daripada 15 peserta yang menamatkan larian ekstrem itu, David Christopher merupakan peserta terpantas menerusi catatan masa 65 jam 33 minit 2 saat manakala Chong Teik Loong tiba dua minit sebelum masa yang diperuntukkan tamat.
“Saya sudah berlari jarak jauh selama 12 tahun, jadi ini adalah antara acara terbesar di Malaysia. Saya lakukannya bukan sekadar untuk pencapaian peribadi tetapi turut menjadikan ia sebagai usaha mengumpul dana kebajikan haiwan.
“Saya memang yakin dapat habiskan (larian) dalam tempoh 120 jam kerana ada banyak masa. Lebih penting, sistem kutipan dana yang saya buat ini akan menggandakan jumlah sumbangan sekiranya saya tamatkan larian penuh,” katanya.
Lebih menarik, dia yang juga seorang jurutera meneruskan saingan dalam acara 100km sebaik sahaja menamatkan ultra maraton dan berjaya menamatkan aksi di kedudukan ke-21 menerusi catatan masa 13’47:33s.
Sementara itu, pelari terbaik wanita bagi acara ultra maraton adalah pemegang rekod Malaysia larian terpanjang di atas treadmill, Grace Lim apabila menamatkan saingan dalam tempoh 81’41:59s.
Sebagai rekod, kejohanan Route 68 Ultra edisi ke-10 itu berjaya menarik 680 peserta dari 17 buah negara yang mengambil bahagian dalam enam kategori termasuk 250km, 168km, 100km, 84km, 50km dan 30km. – KOSMO! ONLINE