PETALING JAYA – Meski perlu duduk di asrama seawal usia tujuh tahun, ia tidak menghalang kegigihan anak pulau untuk berjauhan dengan ibu bapa demi menuntut ilmu.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di TikTok dikenali sebagai @amiechadaenia, itulah lumrah kehidupan sebenar anak-anak yang berasal dari pulau.
Ujarnya, selain sekolah yang terhad, jarak perjalanan yang jauh menaiki bot juga merupakan antara faktor menyebabkan kanak-kanak ini perlu tinggal di asrama seawal darjah satu.
Menerusi hantarannya, dia memuat naik video ketika mereka sekeluarga datang melawat adiknya di sekolah terletak di Pulau Tioman, Rompin, Pahang pada minggu pertama sekolah.
“Kehidupan anak pulau, duduk asrama seawal tujuh tahun. Setiap malam angah menangis rindukan adik. Tapi angah pun pernah lalui semua tu. Seawal tujuh tahun dah kena berdikari sendiri.
“Tak ada mak yang sanggup berjauhan dengan anaknya, tapi demi menuntut ilmu, inilah caranya,” tulisnya di ruangkan kapsyen sambil meletakkan tanda pagar #anakpulau.
Sehingga kini videonya mendapat lebih 1.2 juta tontonan, 112,700 tanda suka dan 14,100 perkongsian.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai ‘anak pulau’ turut berkongsi pengalaman yang sama apabila perlu berjauhan dari ibu bapa dari usia tujuh hingga 17 tahun demi menuntut ilmu.
“Ya kak, saya pun anak pulau macam nilah. Dari darjah satu duduk asrama sampailah habis Sijil Pelajaran Malaysia. Sampai tingkatan enam pun masih duduk asrama. Memang belajar berdikari dari sekolah. Sekolah pedalaman, jadi rindu mak ayah pun tahan je,” komen Suzie.
“Kebanyakan kawasan sekitar pulau di Mersing, penduduk tak ramai so sekolah pun terhad. Ada juga dari pulau-pulau lain contoh Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Bandar Mersing sahaja yang lengkap kemudahan,” komen Mieyka.
Sementara itu ramai juga pengguna yang memuji kegigihan pelajar itu dan rata-rata pertama kali mengetahui wujudnya asrama bagi murid darjah satu.
“Siannya kecil-kecil dah kena berdikari. Tak boleh ke buat sekolah yang dekat sikit. Nampak macam ramai jugak muridnya tu,” komen Fiza.
“Kalau tak ada video ni, saya memang tak tahu ada asrama untuk budak darjah satu. Kasihannya kecil-kecil dah kena berdikari,” komen Azam.
“Kentalnya awak adik. Akak masa umur 18 pun menangis-nangis duduk kolej sebab kena berjauhan dengan ibu bapa. Semoga dipermudahkan urusan murid-murid di sana,” komen Kalsom. – KOSMO! ONLINE
@amiechadaenia kehidupan anak pulau , duduk asrama seawal tujuh tahun , setiap malam angah menangis rindukan adek , tapi angah pun pernah lalui semua tuu .. seawal tujuh tahun dah kena berdikari sendiri .. tak ada mak ayah yang sangguh berjauhan dengan anaknya , tapi demi menuntut ilmu , inilah caranya 💗 #anakpulau #fyp ♬ Unconditionally X Strong – AdeGrande3435