WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata semalam bahawa beliau cuba mendapatkan semula wang berbilion-bilion dolar yang dihantar untuk menyokong perang Ukraine terhadap Russia.
Beliau menyatakan demikian ketika Washington dan Kyiv merundingkan perjanjian sumber galian sebagai pampasan kepada bantuan yang diberikan oleh Presiden Amerika Syarikat(AS) sebelum ini, Joe Biden.
Trump meminta galian nadir bernilai AS$500 bilion (RM2.2 trilion) sebagai harga bantuan yang diberikan kepada Ukraine.
Trump memberitahu Sidang Tindakan Politik Konservatif(CPAC) dekat Washington semalam: “Saya cuba mendapatkan semula wang kami(AS).
“Saya mahu mereka (Kyiv) memberikan kami sesuatu sebagai timbal balas kepada wang yang kami hulurkan. Kami meminta galian nadir atau apa sahaja yang kami boleh dapat,” kata Trump.
Beberapa jam sebelumnya, satu sumber memberitahu AFP bahawa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky tidak bersedia menandatangani perjanjian itu walaupun ditekan oleh AS.
Ukraine sebaliknya mahu sebarang perjanjian yang dimeterai bersama AS perlu meliputi jaminan keselamatan ketika Kyiv memerangi pencerobohan Moscow selama hampir tiga tahun.
Situasi menjadi bertambah buruk selepas Washington mengusulkan resolusi konflik Ukraine kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tanpa menyentuh wilayah Kyiv yang ditakluki oleh Russia. – AFP