fbpx

Tragedi Bukit Kepong: ‘Peluru kena perut ayah hingga terburai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZALEHA (kiri) dan arwah bapanya, Ahmad, yang terkorban dalam tragedi berdarah Bukit Kepong pada tahun 1950.

MUAR – Ahli keluarga anggota polis yang gugur dalam pertempuran tragedi berdarah Bukit Kepong tidak dapat melupakan peristiwa bapanya ditembak komunis ketika bersarapan kira-kira 75 tahun lalu.

Allahyarham Ahmad Muhammad Jaafar berkhidmat sebagai ‘mata-mata’ ditembak komunis di berek polis Bukit Kepong ketika bersarapan bersama keluarganya.

Menurut anaknya, Zaleha, 71, ketika kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, dia baru berusia tiga bulan. Mereka lima beranak bersarapan di rumah sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.

“Ibu saya (Allahyarham Marian Ibrahim) sering berkongsi tragedi hitam itu dengan kami. Ayah saya membuka tingkap rumah dan terkena tembakan komunis di bahu sebelum rebah.

“Ayah sempat meminta ibu menyembunyikan kami dalam peti besi di berek polis, tetapi tak sempat kerana komunis sudah tercegat di depan pintu lalu melepaskan tembakan ke arah ayah. Peluru itu terkena perut ayah hingga terburai,” katanya sayu.

Zaleha ditemui pada Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong yang dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, di sini hari ini.

Menurut wanita itu, komunis kemudian meminta ibunya membawa mereka tiga beradik ke tepi sungai.

Katanya, ibu yang mendukung abangnya yang ketika itu berusia tiga tahun diacu senapang untuk dijadikan tebusan bagi memujuk tiga lagi anggota polis untuk menyerah diri.

Zaleha menambah, anggota polis terbabit tetap berkeras sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.

“Selepas komunis masuk dalam hutan, bot digerakkan untuk membawa anggota polis yang cedera ke Hospital Muar melalui sungai. Ayah menghembuskan nafas terakhir di dalam bot,” kongsinya.

Pada 23 Februari 1950, seramai 25 orang terbunuh termasuk ahli keluarga anggota polis dan mereka yang terselamat pertempuran itu adalah empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI