SUBANG JAYA – Polis menafikan kejadian pekerja tapak pembinaan warga Bangladesh dipukul gengster dalam kejadian di USJ 1, di sini seperti video tular di media sosial sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan sebaliknya mendapati hanya berlaku tolak-menolak dipercayai angkara tunggakan gaji.
Wan Azlan berkata, pihaknya menerima laporan daripada warga asing berusia 23 tahun yang mendakwa dia ditolak seorang lelaki tempatan semalam.
Kejadian berlaku ekoran pertengkaran mulut antara pengadu dan penyelia projek di tapak pembinaan tersebut pada pukul 4 petang kelmarin.
“Siasatan mendapati mangsa berada di lokasi bersama lebih 10 rakan sekerja untuk meminta tunggakan gaji yang belum diterima selama tiga bulan.
“Semasa kejadian, seorang lelaki tempatan meminta pengadu dan rakannya supaya tidak membuat kecoh dan keluar dari tapak projek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, semasa perbincangan, berlaku tolak menolak antara kedua-dua pihak, namun berjaya dileraikan oleh pekerja lain.
“Dalam kejadian ini, pengadu tidak dipukul oleh gengster seperti yang didakwa. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, sebuah video dimuat naik di media sosial memaparkan pergaduhan sekumpulan individu yang mendakwa tidak mendapat gaji serta dipukul gengster. – KOSMO! ONLINE