KUALA TERENGGANU – Masjid dan surau di seluruh Terengganu tidak dibenarkan menggunakan ‘imam import’ dari negara asing untuk solat tarawih pada bulan Ramadan ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sebaliknya pengurusan masjid dan surau negeri ini digalakkan melantik imam tarawih dalam kalangan pelajar tahfiz tempatan.
“Tiada imam solat tarawih asing contohnya dari Mesir dan Arab Saudi kecuali mereka yang sudah sedia menetap di negeri ini sebagai guru sekolah dan pensyarah (institusi pengajian tinggi).
“Kita sangat galakkan pelajar-pelajar kita yang hafal al-Quran dilantik sebagai imam tarawih dan dibiayai (elaun) oleh pengurusan masjid dan surau,” katanya di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas mengagihkan bantuan zakat asnaf fakir miskin negeri ini sempena Ramadan.
Shaikh Harun berkata, pendekatan memberi keutamaan kepada pelajar tahfiz tempatan itu bertujuan memberi lebih pendedahan kepada golongan tersebut mengetuai solat tarawih pada usia muda.
Beliau berkata, besar harapan Maidam agar pelajar tahfiz dilatih terbabit kelak mendapat permintaan menjadi imam solat tarawih di luar Terengganu termasuk luar negara pada masa depan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi memastikan keselamatan masjid dan surau demi keselesaan jemaah pada bulan Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE