PETALING JAYA – Isu kemudahan dan keselamatan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya Transit Aliran Ringan (LRT), terus menjadi perbincangan dalam kalangan masyarakat.
Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan bagi memudahkan pergerakan mereka, masih terdapat kekangan yang menimbulkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab untuk membantu serta memantau pengguna OKU ketika menggunakan sistem LRT.
Menurut Zarul Azri, meskipun ketika ini syarikat pengendali LRT telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti lif, laluan khas, dan butang bantuan kecemasan, masih banyak cabaran yang dihadapi pengguna OKU.
Katanya, antara isu utama yang telah dibangkitkan sejak sekian lama adalah adalah kekurangan petugas untuk membantu pengguna OKU di stesen tertentu.
“Jadi apa-apa masalah, tak ada petugas yang ‘stanby’ di stesen stesen, menyebabkan pengguna OKU terpaksa mencari alternatif lain termasuklah meminta ihsan daripada pengguna LRT yang lain.
“Ada juga yang merungut mereka terpaksa menunggu lama untuk dapatkan bantuan petugas di stesen,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.
Perkongsian Zarul Azri turut mendapat perhatian pengguan lain dan rata-ratanya mereka juga mempersoalkan siapakah yang bertanggungjawab untuk membantu pengguna LRT di stesen terutama golongn OKU.
“OKU ni dia pergerakan terbatas, jadi perlu ada petugas yang pantau. Kes macam di LRT Titiwangsa semalam. Kenapa boleh jadi macam itu? Mana mereka yang patut bertugas?,” soal Ainur.
“Saya sangat berharap ada satu mekanisme pemantauan lebih ketat serta kehadiran petugas yang sentiasa bersedia untuk membantu pengguna OKU. Ini bukan sahaja memudahkan pergerakan kami, tetapi juga menjamin keselamatan,” kata Mohd. Khairul
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki buta maut selepas terjatuh di atas landasan dan digilis tren dalam kejadian di Stesen LRT Titiwangsa, di ibu negara semalam. – KOSMO! ONLINE