PETALING JAYA – Trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak dilaporkan sesak dari arah Bentong menuju ibu negara susulan kemalangan dua buah bas tengah hari tadi.
Menerusi perkongsian Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), kemalangan berlaku di Kilometer (KM) 36 arah Barat dari Genting Sempah ke Gombak.
“Dilaporkan lorong kiri terhalang. Trafik sesak sejauh 25km. Status terkini setakat pukul 3.22 petang, kerja-kerja pengalihan sedang dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, semakan rakaman televisyen litar tertutup setakat pukul 4.30 petang tadi mendapati keadaan trafik masih lagi sesak dan kenderaan tidak bergerak dari Plaza Tol Bentong.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai pengguna lebuh raya berkongsi keadaan trafik yang sesak.
“Masih sesak ‘melekat kaw kaw’,” kongsi Azlinda.
“Dua buah bas bertembung, memang sesak ‘melekat’. Bertabahlah semua,” kata Hashim pula. – KOSMO! ONLINE