PETALING JAYA – Sesi Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani mencambahkan banyak idea baharu untuk mencetuskan anjakan yang bermakna demi manfaat rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap pandangan yang dikongsi pada sesi itu, adalah cerminan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam mencorak masa depan lebih cerah.
“Alhamdulillah, sesi Permukiman Jemaah Menteri telah berakhir pada malam tadi setelah seharian penuh dengan perbincangan mendalam, pembentangan penuh pengisian serta penilaian teliti terhadap polisi dan dasar.
“Semuanya demi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi itu juga akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Mudah-mudahan kebersamaan yang terjalin hari ini menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih bermakna buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE.