PETALING JAYA – Berkongsi rezeki, penyanyi Marsha Milan meraikan kemenangannya di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39) bersama penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah, Ampang.
Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh berkata, kunjungan selepas menjulang trofi utama AJL39 menerusi lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Saleh itu adalah untuk
menyantuni kanak-kanak yang sudah seperti keluarganya sendiri.
“Syukur dan terharu dapat bertemu anak-anak tahfiz di Baitun Nurrawdhah. Kebanyakan mereka adalah anak-anak asnaf yang sangat mesra dan sudah seperti keluarga sendiri.
“Lawatan ini lebih bermakna kerana dapat meraikan kejayaan di AJL39 bersama mereka, malah saya harap ukhuwah ini terus terjalin dan mereka juga cemerlang dunia akhirat,” katanya.
Berkongsi detik istimewa tersebut menerusi sepotong video dalam Instagram, penghibur asal Sabah itu tampak teruja menyantuni penghuni rumah berkenaan.
Tidak kekok melayan semua kanak-kanak terbabit, Marsha, 39, juga dilihat selesa mendukung bayi serta melayani mereka menjamu selera sambil berbual mesra.
Menerusi ruangan komen, rata-rata peminat memuji sikapnya yang prihatin dan tidak melupakan golongan kurang bernasib baik.
Malah, ramai menzahirkan perasaan sayu melihatnya teruja bersama bayi dan kanak-kanak sekali gus mendoakan penyanyi terbabit dikurniakan cahaya mata.
“Gembira tengok Marsha yang sentiasa membumi dan tak lupakan anak-anak ini,” kata netizen.
“Jadi contoh kepada orang lain. Sebak pula, Marsha memang istimewa. Pandai layan bayi dan budak. Kita doakan Marsha dan suami dikurniakan zuriat cepat,” tulis pengikutnya.
Terdahulu, pada malam kemuncak AJL39 yang berlangsung baru-baru ini, persembahan Marsha meraih ‘standing ovation’ penonton di Axiata Arena ketika menyampaikan lagu Hening Rindu.
Karya yang dijulang sebagai juara itu di pertandingan terbabit melayakkannya bersama komposer dan penulis lirik membawa pulang wang tunai RM100,000 dan trofi. – KOSMO! ONLINE