KUALA TERENGGANU – Kadar minimum zakat fitrah di Terengganu kekal RM10 seorang seperti tahun lalu.
Satu lagi kategori bagi yang memakan beras premium jenis basmathi dan setara dengannya pula ialah RM21 sekepala iaitu kurang RM1 berbanding tahun lalu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penetapan kadar zakat fitrah tersebut berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis yang dimakan umat Islam negeri ini.
“Kadar minimum zakat fitrah RM10 itu berdasarkan harga jualan beras super import dan Siam di negeri ini.
“Tinjauan mendapati rata-rata umat Islam Terengganu memakan beras gred tersebut memandangkan beras gred super tempatan lima peratus sukar didapati,” katanya di Kompleks Seri Iman di sini hari ini.
Shaikh Harun berkata, kebiasaannya kebanyakan umat Islam Terengganu membayar zakat fitrah melebihi kadar minimum telah ditetapkan.
Beliau berkata, ia terbukti apabila purata bayaran zakat fitrah bagi setiap individu di negeri ini pada bulan Ramadan tahun lalu adalah RM11.
“Begitupun, kita tetap terima (bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum) dan amil akan merekodnya di dalam resit,” katanya. – KOSMO! ONLINE