JOHOR BAHRU – Johor komited untuk memastikan sembilan sungai yang dikategorikan sebagai sungai tercemar di negeri ini dapat dibersihkan sepenuhnya.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM7 juta diperuntukkan untuk membersihkan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau pada tahun ini.
“Daripada 14 sungai tercemar yang dilaporkan sebelum, kita telah berjaya kurangkan kepada sembilan, ini adalah satu trend positif.
“Justeru, kita perlu terus berusaha dan melipatgandakan strategi melibatkan pelbagai pihak untuk memastikan sifar sungai tercemar di negeri ini,” katanya sempena program Southern Volunteers (VS) Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor 2025 di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau, di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membersihkan dua sungai iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu, Pasir Gudang.
“Dua sungai ini kurang sumber air mentah dan air yang mengalir adalah air kegunaan perumahan dan industri yang menyebabkan tahap air itu berada di tahap keempat keatas, bererti tahap kotor dan sudah lama dalam senarai tercemar,” katanya.-KOSMO! ONLINE