PETALING JAYA – Lantang bersuara, pengacara Uyaina Arshad menasihati pempengaruh agar berhati-hati menghasilkan sesuatu kandungan.
Dalam masa sama, Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 33, turut mengingatkan agar tidak melakukan kandungan melampaui batas.
“Pencipta kandungan, ini untuk anda dan kita semua yang muat naik sesuatu dalam media sosial.
“Janganlah buat video yang melanggar undang-undang, petik nama orang atas dasar lawak dan gurauan.
“Usah buat kandungan ‘prank’ melampau batas dan parodi syok sendiri,” katanya dalam aplikasi X.
Berkongsi lanjut, pengacara program Wanita Hari Ini (WHI) itu turut memaklumkan jenaka dalam sesuatu kandungan juga seharusnya disesuaikan dengan keadaan.
“Lawak bila salah tempat, dah tak jadi lawak,” ujarnya lagi.
Perkongsian itu dibuat Uyaina berdasarkan kes yang berlaku antara pelakon Ellie Suriaty dan pempengaruh Imran Bard.
Sebelum ini, Ellie mengadakan sidang media menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa menjejaskan namanya menerusi dua hantaran video parodi dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.
Ellie kecewa apabila Imran memperlekeh reputasi yang dibinanya lebih tiga dekad menerusi konten berkenaan.
Dalam kandungan video itu, Imran berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie termasuk kononnya mempunyai kaitan dengan bahan terlarang.
Selepas Ellie mengadakan sidang media, Imran pula tampil memberi maklum balas menyatakan ibunya tidak boleh berjumpa pekon itu untuk memohon maaf kerana sedang menerima rawatan di hospital.
Namun, Ellie berkata dia tiada masalah untuk menyantuni wanita terbabit dengan berkunjung ke hospital. – KOSMO! ONLINE