PETALING JAYA – Saling menyokong, penyanyi Khai Bahar sentiasa mengingatkan peminat-peminatnya supaya sentiasa menjaga adab dan tingkah laku
Menurut Khai atau atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharudddin, 31, dia dan ahli kelab peminatnya, Khai Bahar Empire saling menasihati satu sama lain supaya tidak cepat melatah.
“Sebelum saya mengingatkan mereka, mereka yang terlebih dahulu mengingatkan saya supaya tidak melenting atau melatah jika terpalit dengan sesuatu isu.
“Begitu juga saya, akan pesan agar mereka tidak menjadi peminat toksik dan bergaduh dengan ahli kelab peminat artis lain.
“Jangan masuk campur urusan artis lain. Kita buat hal kita sendiri kerana kalau kita masuk campur takkan ke mana. Akhirnya kita sendiri yang tertekan,” katanya ketika ditemui di majlis Greatest Love Of Khai Bahar buat kali keenam, di sini, semalam.
Tambah pelantun lagu Bayang itu lagi, selama hampir 10 tahun menjadi penyanyi, peminatnya sentiasa setia di sisi.
“Saya terharu dengan kesetiaan mereka. Sehingga kini saya sudah meraih lebih 70 trofi disebabkan usaha serta kerja keras mereka mengundi dalam anugerah populariti.
“Kini tiba giliran saya pula untuk memberikan sesuatu yang bermakna buat mereka iaitu anugerah terbaik yang dinilai oleh juri.
“Namun, proses ini tidak mudah. Ambil masa yang lama. Marsha misalnya, dia menunggu selama 20 tahun untuk meraih Anugerah Juara Lagu. Dia contoh terbaik untuk artis bekerja keras,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Khai kini dalam proses memilih lagu sesuai untuk dijadikan single seterusnya. – KOSMO! ONLINE