PETALING JAYA – Ramai masih keliru antara panau dan sakit kusta kerana kedua-duanya melibatkan perubahan pada kulit.
Namun, kedua-dua keadaan ini berbeza dari segi punca, simptom, dan rawatannya.
Menerusi perkongsian Public Health Malaysia (PHM) di Facebook, panau ialah jangkitan kulat yang menyebabkan tompok-tompok putih atau bersisik pada kulit, manakala kusta adalah penyakit berjangkit kronik yang menyerang saraf dan kulit, berpunca daripada bakteria ‘Mycobacterium leprae’.
“Panau biasanya muncul tompok putih, cokelat atau merah dan kulit mudah berasa gatal dan bersisik terutama ketika peluh.
“Tetapi kusta tompok yang muncul pada kulit kelihatan pucat atau kemerahan yang tidak sakit, kebas dan tidak gatal,” kata PHM.
Menurut PHM, panau selalu muncul di kawasan lembap seperti leher, dada, atau belakang, manakala kusta boleh menyebabkan kulit menjadi kebas serta mengalami luka yang sukar sembuh.
“Kulit terasa tebal atau kasar di kawasan tertentu, terutama di tangan, kaki, atau muka. Terdapat benjolan atau nodul kecil di bawah kulit, terutamanya di bahagian muka, telinga, atau siku.
“Otot semakin lemah, terutama di tangan atau kaki, menyebabkan kesukaran menggenggam atau berjalan. Sarag membengkak, dan ia boleh dirasai sebagai ketulan di belakang tangan, siku, atau lutut selain alami luka yang lambat sembuh, terutamanya di kaki atau tangan,” jelas PHM.
Orang ramai dinasihatkan agar segera mendapatkan pemeriksaan perubatan sekiranya mengalami gejala yang mencurigakan, terutama jika terdapat tompok-tompok kulit yang tidak hilang selepas rawatan biasa.
“Jika anda atau orang sekeliling mengalami gejala ini, jangan abaikan. Kusta bukan penyakit zaman dahulu, ia masih wujud dan boleh dirawat,” tegas PHM. – KOSMO! ONLINE