PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah bermula Selasa hingga Rabu ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya hari ini, kawasan yang terlibat di Sabah adalah Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud).
“Selain itu, kawasan yang dijangka cuaca buruk yang sama adalah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, angin kencang dan hujan lebat hampir di seluruh negeri sehingga pukul 4 petang ini.
Ujarnya, cuaca buruk diramal di seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Hulu Perak).
“Di pantai timur, kawasan yang dilanda ribut petir adalah Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan Terengganu.
“Cuaca buruk petang ini juga melibatkan Pahang iaitu kawasan Jerantut, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin),” katanya.
Tambah MetMalaysia, hujan lebat ini dijangka melanda Selangor (Hulu Langat), Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan seluruh Melaka.
“Di Johor antara kawasan yang diramal ribut petir adalah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
“Cuaca buruk juga dijangka di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian (Serian), Samarahan, Betong, Sibu dan Mukah (Matu, Dalat dan Mukah),” katanya. – KOSMO! ONLINE