fbpx

EPMB jalin usaha sama strategik dengan Sanly, Jujin China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aidan (kiri) dan Hamidon (dua dari kiri) pada majlis pemeteraian perjanjian kerjasama dengan wakil daripada dua syarikat dari China di Shah Alam baru-baru ini.

PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB), penyedia penyelesaian automotif terkemuka Malaysia, telah mengumumkan dua usaha sama strategik dengan Sanly China dan Jujin China sebagai usaha untuk mempertingkatkan pengeluaran komponen utama automotif di peringkat tempatan bagi Proton Saga MC3. 

Kerjasama ini menegaskan komitmen EPMB dalam memperkukuh keupayaan pembuatan automotif Malaysia sambil memastikan kecekapan kos dan kualiti tinggi kepada pengeluar peralatan tulen (OEM).

Pengarah Eksekutif EPMB, Aidan Hamidon berkata, melalui anak syarikatnya, PEPS-JV (M) Sdn Bhd, EPMB telah memeterai usaha sama dengan Sanly China bagi memulakan pengeluaran tempatan modul penjuru hadapan, modul sub-rangka dan pemasangan gandar belakang untuk Proton Saga MC3. 

Menurut beliau, perjanjian tersebut telah diitandatangani baru-baru ini bagi menggabungkan teknologi kerja logam maju Sanly China dengan operasi sedia ada EPMB di Batang Kali, Selangor sekali gus memperkukuh rantaian bekalan agar lebih teguh dan cekap.

“Dengan memanfaatkan kepakaran Sanly China, EPMB menyasarkan untuk menyampaikan model harga yang kompetitif dan kos luar-kilang yang dioptimumkan, menyediakan OEM dengan peningkatan kecekapan kos dan jaminan kualiti.

‘Ia juga adalah lonjakan strategik bagi EPMB yang mana dengan menggabungkan kepakaran Sanly dalam kerja logam canggih serta keupayaan pembuatan tempatan kami, kami menetapkan penanda aras baharu dalam pembekalan komponen automotif.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kami terhadap inovasi, kualiti dan pertumbuhan strategik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Selain itu, Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah menerangkan, EPMB turut menjalin kerjasama dengan Jujin China untuk menghasilkan kerusi kereta Proton secara tempatan.

Menurutnya, usaha ini adalah hasil kerjasama bertahun-tahun antara kedua-dua pihak yang berasaskan kepercayaan, rasa hormat, dan komitmen bersama terhadap inovasi.

“Pakatan strategik ini mengukuhkan kedudukan EPMB sebagai penyedia penyelesaian automotif utama dalam industri. 

“Penggabungan kepakaran global Jujin dalam reka bentuk serta pengeluaran kerusi dengan keupayaan pembuatan tempatan EPMB akan meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kos, dan menjamin keuntungan jangka panjang. 

“Perbincangan sedang dijalankan bagi memperluaskan kerjasama ini ke model Proton lain dan berpotensi melibatkan kenderaan Geely, sekali gus memperluaskan jangkauan pasaran,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI