fbpx

Dividen KWSP dijangka lebih baik untuk 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka menerima pulangan dividen lebih baik bagi 2024 berikutan prestasi memberangsangkan badan kewangan itu pada suku ketiga tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024.

“Kalau kita tengok prestasi sehingga suku ketiga tahun lepas, ia menggalakkan. Sehingga suku ketiga, ia (KWSP) sudah dapat RM57.5 bilion. Lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

“Oleh itu, Insya-Allah prestasi berterusan pada suku keempat dan dividen akan memberangsangkan.

“Namun, saya tidak boleh komen (dividen). Itu tunggulah. Boleh kata lebih baik. Insya-Allah,” katanya selepas menyempurnakan Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF anjuran Kementerian Kewangan (MOF) di sini hari ini.

Terdahulu, lebih 3,700 peserta menyertai Larian ASEAN: Trek Kewangan @MOF bersempena Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 melibatkan penyertaan warga MOF dan orang awam.

Sebelum ini, beberapa pakar menjangkakan pencarum KWSP berpotensi menerima dividen lebih tinggi pada kadar 6 hingga 6.3 peratus tahun ini.

KWSP dijangka mengumumkan dividen 2024 pada awal bulan depan.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen 5.5 dan 5.4 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan shariah bagi tahun 2023.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 2022 dengan dividen diumumkan ketika itu bagi simpanan konvensional adalah 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi simpanan shariah.

Ia melibatkan pengagihan terkumpul RM57.81 bilion masing-masing RM50.33 bilion untuk simpanan konvensional dan RM7.48 bilion lagi untuk simpanan shariah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI