PETALING JAYA – Kehadiran murid ke sekolah adalah penting bagi memastikan kemajuan sistem pelajaran anak-anak terjamin dari semasa ke semasa.
Bagaimanapun, sikap sesetengah ibu bapa yang ‘memontengkan’ anak mereka tanpa sebab khusus mendatangkan kerisauan buat para guru.
Baru-baru ini tular satu video di TikTok yang dimuat naik seorang guru dikenali @cikgupaan92 sehingga mendapat lebih 220,900 tontonan.
Di dalam video itu dia berkongsikan tangkap layar perbualan bersama ibu bapa kepada salah seorang muridnya yang memaklumkan anak mereka tidak hadir ke sekolah atas alasan urusan keluarga.
Namun apabila guru terbabit bertanyakan lebih lanjut tentang urusan keluarga yang dimaksudkan, ibu bapa tersebut mempersoalkan kembali tindakan cikgu itu.
“Emm, cikgu, ada urusan keluarga pun kena beritahu urusan apa ke?,” tanya ibu bapa murid tersebut kepada guru berkenaan.
Justeru, guru tersebut menjelaskan tindakannya bertanyakan butiran lanjut adalah bagi memudahkan pengisian maklumat ketidakhadiran di dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid.
Selain daripada data murid, sistem pengoperasian sekolah itu juga mempunyai bahagian kehadiran murid yang perlu dikemaskini pada setiap hari.
Di dalam senarai pilihan, terdapat banyak sebab serta alasan ketidakhadiran murid yang boleh dipilih seperti wabak penyakit, bencana alam, masalah keluarga, ancaman keselamatan dan sebab-sebab lain yang khusus.
Selain itu, ada juga sebab masalah peribadi iaitu malas ke sekolah, dimana menurut guru berkenaan, kes sebegini akan dirujuk kepada kepada kaunselor untuk tindakan lanjut.
“Sebab tu bila murid tidak hadir ke sekolah, guru kelas akan tanya lebih lanjut kenapa tidak hadir.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai golongan ibu bapa yang baru mengetahui tentang sistem ini dan rata-rata berkongsi alasan yang sering diberikan kepada guru jika anak tidak dapat hadir.
“Saya kalau anak tak sekolah, pagi-pagi dah beritahu guru sekali dengan sebab. Kalau anak sakit beritahu sakit dan bawa ke klinik. Ada kematian pula saya akan beritahu ada kematian lepas tu bagi sekali surat kematian,” komen Izz Mai.
“Saya selalu bagi butiran terus. Tak pernah alasan urusan keluarga. Cikgu pun terima baik sebab jelas,” komen Cik Manis.
“Bagus kongsi benda ni, sebab ramai tak faham dan tak nampak sudut kerja belah cikgu yang bertanya untuk masuk rekod sistem,” komen Nando. – KOSMO! ONLINE